SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahanan pembangunan kepada Negeri Sembilan berjumlah hampir RM1 bilion.
Peruntukan itu merangkumi kemudahan untuk rakyat seperti pengangkutan awam, pendidikan dan perumahan mampu milik.
Anwar berkata, antara projek terbaharu adalah membina jalan susur dari Tol Baharu Seremban Ke Lingkaran Tengah Seremban dengan melibatkan kos RM600 juta.
“Selain itu, akan turut dibina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dengan Sungai Pelek, Sepang, Selangor dengan kos sebanyak RM160 juta,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini hari ini.
Menurut Anwar, di Negeri Sembilan, projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Residensi berdepan masalah panjang kerana ia membabitkan tanah rizab kereta api yang tidak selesai sejak tahun 2015.
“Sukacita diumumkan Kerajaan Perpaduan menyelesaikan isu yang lama tertangguh ini dan penyerahan sebanyak 891 unit Residensi PR1MA akan dibuat mulai 1 Jun ini kepada pembeli.
“Selain itu, turut diberi perhatian pembinaan fasiliti Kementerian Pendidikan dengan kos RM280 juta termasuk membina semula sekolah daif dan memperkukuhkan pendidikan khas di negeri ini. Yang lain-lain (projek baharu) akan diumumkan oleh Menteri Besar,” katanya
Terdahulu, Anwar tiba pada majlis itu pada pukul 11 pagi. Beliau menyantuni pengunjung di gerai-gerai yang menyediakan pelbagai juadah istimewa hari raya.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut memberi jaminan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pemimpin dan penjawat awam yang mengambil rasuah.
“Kita tidak izinkan mana-mana pemimpin atau penjawat awam yang ‘sakau’ duit rakyat. Kalau ada kita humban ke dalam penjara. Inilah kerajaan yang ambil tindakan cukup tegas,” katanya. – KOSMO! ONLINE