BANGKOK – Satu rakaman video menunjukkan seorang wanita Thailand bercakap dengan seorang lelaki yang mencuri basikalnya secara berhemah dan tidak bertengkar sehingga menjadi tular di media sosial, lapor portal berita Thaiger semalam.
Disiarkan dalam akaun Tiktok tai_1138, video itu memaparkan percakapan seorang wanita dengan pencuri berkenaan. Dia bertutur dengan lembut dan penuh belas kasihan. Wanita itu bertanya kepada pencuri berkenaan dari mana dia mendapat basikal tersebut.
Pencuri itu memberi jawapan tidak jelas seperti membeli dan menjumpainya, namun wanita tersebut dengan tenang berkata, dia tidak meninggalkan basikal itu serta menyatakan bahawa mengambil harta orang lain tanpa kebenaran adalah perbuatan mencuri.
Wanita tersebut menambah, basikal berharga beberapa ribu baht itu adalah basikal lipat dan anaknya telah mengenal pasti ia basikal miliknya.
Apabila ditanya sama ada dia akan memulangkannya, pencuri itu sebaliknya bertanya sama ada wanita tersebut membenarkan dia menyimpan basikal itu atau mahu mengambilnya semula.
Lelaki itu juga menafikan dia seorang pencuri dan menunjukkan sikap ceria serta tersenyum sepanjang perbualan mereka.
Akhirnya, wanita berkenaan memutuskan untuk memberikan basikal itu dengan murah hati kepada lelaki itu dan meminta dia menjaganya dengan baik.
Netizen memuji wanita itu kerana pendekatannya yang lemah lembut, baik hati dan memahami dalam menangani situasi tersebut.
Wanita tersebut menjelaskan bahawa lelaki berkenaan kelihatan ceria dan kadang-kadang bercakap seorang diri. Di sebalik perbuatannya, wanita berkenaan mendapati dia seorang yang menyenangkan dan berbudi bahasa. – Agensi