PETALING JAYA – Pelakon Hafeez Mikail selamat bernikah dengan pasangan pilihannya, Noor Azira Azman dengan sekali lafaz di Changkat Telang, Hulu Langat, Selangor semalam.
Hafeez atau nama lengkapnya Muhd. Hafiz Muhd. Zaki, 31, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 dan sebentuk cincin kepada pihak pengantin perempuan.
Sebaik sahaja akad dilafazkan, pelakon filem Busker itu kelihatan sebak dan menitiskan air mata sambil mencium tangan bapanya yang berada di sisi.
Kedua-dua mempelai kelihatan sama cantik, sama padan menggayakan persalinan pengantin yang berkonsepkan Jawa.
Terdahulu, Hafeez dan isteri mengikat tali pertunangan di kediaman pihak wanita yang terletak di Beranang, Selangor pada 24 Disember 2022 selepas lebih setahun berkenalan.
Malah, dia sempat memberi peringatan kepada Azira untuk bersedia dengan kecaman netizen dan perhatian yang diberikan apabila bergelar isteri kepada seorang artis.
Sebelum ini, Hafeez mengenali Azira pada tahun 2021 dan berhasrat membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius, seiring usia yang sudah meningkat. – KOSMO! ONLINE