fbpx

Pandemik berakhir, WHO tarik balik status darurat kesihatan global Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja kesihatan berjalan di hadapan pusat ujian Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, barat Seoul pada 3 Januari lalu. - AFP

GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan bahawa Covid-19 bukan lagi ‘darurat kesihatan global’, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Kenyataan itu mewakili langkah besar bagi menamatkan status pandemik dan dibuat tiga tahun selepas WHO pertama kali mengeluarkan status amaran tertingginya terhadap koronavirus.

Menurut pihak berkuasa, kadar kematian akibat Covid-19 menurun daripada rekod tertinggi lebih 100,000 orang seminggu pada Januari 2021, kepada hanya lebih 3,500 orang seminggu setakat 24 April lalu.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, sekurang-kurangnya tujuh juta orang meninggal dunia akibat wabak itu.

Bagaimanapun, kata Tedros, angka korban sebenar dipercayai hampir 20 juta orang atau tiga kali ganda lebih tinggi daripada anggaran rasmi. Justeru, beliau memberi amaran bahawa Covid-19 kekal sebagai ancaman besar.

“Semalam (kelmarin), Jawatankuasa Kecemasan bermesyuarat buat kali ke-15 dan mengesyorkan supaya darurat kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa ditamatkan.

“Saya telah menerima nasihat tersebut. Oleh itu, dengan penuh harapan saya mengisytiharkan bahawa darurat kesihatan global Covid-19 sudah berakhir,” kata Tedros.

Tambahnya, keputusan itu dipertimbangkan dengan teliti sejak sekian lama dan dibuat berdasarkan analisis data yang terperinci.

Tedros turut memberi amaran bahawa pembatalan amaran tertinggi itu tidak bermakna bahaya koronavirus telah berakhir. Menurutnya, status darurat itu boleh diaktifkan semula jika keadaan berubah menjadi buruk.

“Perkara paling buruk boleh dilakukan oleh mana-mana negara adalah menggunakan berita ini sebagai alasan untuk melonggarkan peraturan, menamatkan sistem kawalan atau menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa Covid-19 tidak perlu dibimbangkan,” katanya. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI