BAYAN LEPAS – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindak tanduk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada ketika ini seperti ‘Mr. Bean’.
Mahfuz berkata, ini kerana Muhammad Sanusi mendakwa dia cuba menumpang populariti Menteri Besar Kedah melalui kes saman fitnah.
“Saya terkejut dengan kenyataan ini, saya nafikan cuba menumpang populariti Muhammad Sanusi.
“Tetapi saya akui dia (Muhammad Sanusi) sangat popular seperti Mr. Bean, Mr Bean sangat popular dengan lawak jenaka dia, dia boleh menyanyi, dia sangat popular, boleh gelak besar seperti Mr. Bean,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Rahmah Aidifitri anjuran Parti Amanah di Teluk Kumbar di sini hari ini.
Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa dia cuba menumpang populariti melalui kes saman fitnah ke atas beliau.
Muhammad Sanusi berkata, ini memandangkan wang bayaran untuk kes saman fitnah itu telah diserahkan kepada peguamnya untuk dibayar kepada Mahfuz pada minggu lepas.
Pada 9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebo0knya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.
Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang dalam kes tersebut selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman tersebut daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Menurut Mahfuz, sehingga kini dia atau penguamnya masih belum menerima apa-apa bayaran kes saman fitnah itu daripada Muhammad Sanusi.
“Bayaran kalau dia (Muhammad Sanusi) nak beri melalui peguam atau dia sendiri nak bayar terus kepada saya pun boleh.
“Tetapi sehingga kini wang berkenaan masih belum saya terima dan peguam saya juga belum terima,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE