ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sekali lagi memberi bayangan seolah-olah ada pihak cuba melakukan sabotaj seperti mana yang pernah dialami sebelum ini.
Menulis di laman Facebooknya, Muhammad Sanusi mendakwa siaran langsung Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS di Kompleks Pas Kedah semalam tidak dapat disiarkan di media sosial.
Menerusi status tersebut, Muhammad Sanusi mendakwa ada pihak yang ‘buat kerja’ hingga menyebabkan masalah itu berlaku.
“Setakat pukul 12 tadi (semalam) dianggarkan 50,000 tetamu hadir hingga sesak di luar dan dalam dewan, ‘meghemut’ (sangat ramai).
“Cuma sayang, siaran langsung majlis itu tidak dapat disiarkan. Awal ‘depa’ buat kerja,” katanya.
Terdahulu di laman Facebook sama, siaran langsung majlis tersebut hanya tersiar selama kira-kira 30 minit memaparkan kehadiran tetamu, dan berakhir sebaik Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden membuat pengumuman menjemput tetamu menikmati hidangan.
Sementara itu dalam status tersebut, Muhammad Sanusi turut memaparkan klip video memaparkan kalangan pemimpin PN mengangkat lima jari mereka kepada kalangan jurugambar.
Beliau dalam masa sama turut berkias mengenai maksud lima jari tersebut.
“Ada apa dengan lima? 50,000 tetamu yang hadirkah? Takkan ‘kot’,” katanya. – KOSMO! ONLINE