fbpx

Jangan terlalu yakin menang 33 kerusi – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Titiwangsa dan Wilayah Persekutuan, di Kampung Baru. -Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, diingatkan supaya tidak terlalu yakin mampu memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan diadakan tahun ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bagaimanapun mengucapkan selamat maju jaya kepada parti itu yang sebelum ini turut mempunyai keyakinan tinggi akan menang di parlimen Gombak ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

“Saya mengikuti kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang di Selangor yang amat-amat yakin menengani 33 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 58 kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRN akan datang.

“Pada hemat saya kerajaan perpaduan yang wujud di peringkat pusat dan bagaimana kesalingan yang terjalin di negeri Selangor pastinya merupakan satu ‘game changer’ yang akan diterjemahkan dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar yang sering mendapat bimbingan daripada Perdana Menteri tentu merupakan faktor utama untuk kemenangan kerajaan perpaduan negeri Selangor.

“Kita di peringkat negeri telah mengadakan perbincangan soal pembahagian kerusi, biarpun belum dimuktamadkan kita yakin komposisi pembahagian itu akan mengikut beberapa kesesuaian daripada kerusi yang telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) sendiri dan parti-parti di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Namun kami merasakan bahawa asas kepada PRU-14 dan PRU-13 tidak boleh digunakan sebagai asas untuk memuktamadkan kerusi itu,” katanya.

Jelasnya, UMNO juga telah mengambil keputusan bahawa perbincangan perlu diadakan antara BN dan PH, bukan oleh parti-parti yang ada di dalam komponen itu.

“Malam ini, satu perbincangan akan diadakan mengenai beberapa isu berkaitan PRN ini.

“Kami telah ada beberapa formula yang lebih sesuai dengan situasi semasa, yang akan diselesaikan secara dalaman berhubung pembahagian kerusi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI