fbpx

Hamzah ‘kemaruk’, tetapi pakar tebuk atap – Mohd. Puad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Puad (kiri), Hamzah (kanan).

PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi mendakwa Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin seorang yang kemaruk serta pakar ‘tebuk atap.

Ini kerana kata Mohd. Puad semasa bersama dalam UMNO dahulu pun, Hamzah sanggup buat apa sahaja termasuk meninggalkan parti.

“Cuma kali ini dia disusahkan oleh “akta anti lompat parti”. Tetapi Hamzah pakar tebuk atap.

“Dia akan tebuk individu individu yang masih ada di sana dan di situ. Hamzah bijaksana dan bijaksitu,” katanya pada hantaran di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, Ahli Parlimen Larut itu mendakwa dia tidak pernah bermimpi atau mengigau untuk membentuk kerajaan baharu.

“Tetapi dia mendoakan perkara itu akan jadi kenyataan. Kalau sampai berdoa, itu “kemaruk” namanya.

“Mengenali Hamzah dia akan buat apa sahaja seperti mana dia sanggup tinggalkan UMNO,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, Hamzah menegaskan beliau tidak bermimpi atau mengigau seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangkang memiliki akuan sumpah berkanun (SD) bagi membentuk kerajaan baharu.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, sebaliknya Anwar yang didakwa mengigau kerana takut dengan kedudukannya yang mungkin akan diambil alih.

Katanya, sebagai ketua kerajaan, Anwar sepatutnya memberi tumpuan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri berbanding menyatakan perkara yang tidak sepatutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI