fbpx

Glomac teroka perniagaan tenaga boleh baharu baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baharin (dua dari kiri) bersama FD Iskandar (dua dari kanan) selepas pemeteraian MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Glomac Technology Sdn. Bhd (GTSB), anak syarikat pemaju hartanah, Glomac Berhad untuk  meneroka potensi peluang perniagaan solar terapung di samping solar lain serta projek kemudahan hijau di tapak yang akan dikenalpasti dan dipersetujui bersama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama strategik ini akan  membolehkan kedua-dua pihak memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap tenaga hijau.

Ia juga akan dapat meningkatkan nilai perniagaan mampan TNB dan Glomac dalam membangunkan keupayaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050. 

“TNB sebagai syarikat utiliti tenaga negara akan membantu pelanggan dan rakan kongsi kami untuk meneroka nilai mampan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pemeteraian MoU yang ditandatangani oleh Baharin manakala Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar mewakili GTSB di sini baru-baru ini.

Bisnes teras GTSB adalah menjurus kepada penyediaan kemudahan solar fotovoltaik (PV) terapung meliputi reka bentuk, pembuatan dan pemasangan panel solar pada pelantar terapung atau pontun atas air di kawasan takungan, tasik dan kolam.

Selain itu, menurut FD Iskandar, di peringkat kumpulan, pihaknya telah memutuskan untuk membuka bidang perniagaan baharu dengan memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan kami yang selama ini tertumpu kepada pembangunan hartanah.

“MoU ini tepat pada masanya kerana kami melihat pelbagai potensi melalui kerjasama dengan TNB bagi membantu pelanggan di seluruh negara membuat peralihan yang lebih pantas ke arah penggunaan tenaga bersih.

“Anak syarikat kami, GTSB boleh menyediakan penyelesaian solar PV terapung kepada pelanggan yang mungkin tidak mampu memasang panel solar pada hartanah mereka, agar dapat membeli atau memajak sebahagian daripada kemudahan solar yang lebih besar dan tersedia di kawasan lain,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI