fbpx

Charles III dan Camilla dimahkotakan Raja dan Permaisuri United Kingdom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAJA Charles III dan Permaisuri Camilla melambai kepada orang ramai dalam gambar fail pada 31 Mac lalu. – AFP

LONDON – Majis pertabalan pertama United Kingdom (UK) dalam masa 70 tahun berlangsung semalam dengan Charles III dimahkotakan sebagai raja dalam upacara penuh istiadat berteraskan agama Kristian dan sejarah berusia lebih 1,000 tahun.

Pemahkotaan Charles III adalah yang pertama untuk seorang raja UK sejak 1937. Ia merupakan pengesahan naik takhta selepas bonda baginda, Ratu Elizabeth II mangkat pada September tahun lalu.

Sebahagian besar istiadat pertabalan diadakan di gereja Westminster Abbey, London dan tidak berubah sejak 1,000 tahun lalu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan ketara termasuk penglibatan biskup wanita, pemimpin minoriti agama dan kepelbagaian tetamu dalam komuniti Britain, berbanding hanya golongan bangsawan pada masa lalu.

Tema alam sekitar digunakan dalam istiadat pertabalan raja berusia 73 tahun itu termasuk minyak sapu daripada tumbuhan dan pakaian istiadat kitar semula sekali gus mencerminkan usaha baginda dalam memperjuangkan kelestarian dan kepelbagaian bio.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menggelar majlis itu sebagai ‘detik kebanggan negara’.

“Ini peluang untuk kita semua melihat ke hadapan dengan semangat penyatuan, harapan dan perkhidmatan,” kata beliau kepada Sky News.

Bagaimanapun, bukan semua orang berada dalam situasi perayaan. Kumpulan penentang monarki yang mahu ketua negara UK dipilih oleh rakyat, merancang protes dengan membawa sepanduk tertera slogan ‘bukan raja saya’.

Golongan belia juga tidak begitu teruja dengan monarki UK, demikian menurut keputusan beberapa tinjauan pendapat.

Melihat lebih jauh, kedudukan Raja Charles III sebagai monarki dalam 14 negara Komanwel di luar UK juga dijangka sukar.

Australia, Belize dan Jamaica telah memberi bayangan untuk mengambil langkah menjadi negara republik, manakala Raja Charles III juga berdepan gesaan untuk memohon maaf berhubung penglibatan nenek moyang bagin­da dalam perdagangan hamba dan penjajahan.

Di tanah air sendiri, pemimpin-pemimpin politik berharap pertabalan Raja Charles III akan menunjukkan kehebatan UK sekali gus membantu memulihkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa selepas Brexit

Presiden Perancis dan Jerman di samping barisan pemimpin kanan Kesatuan Eropah merupakan antara 2,300 tetamu yang menghadiri majlis tersebut bersama kerabat diraja di seluruh dunia.

Terdahulu, Raja Charles III dan anak lelaki baginda, Putera William serta menantu, Kate meluangkan masa menyambut orang ramai yang berkumpul untuk perarakan pertabalan.

Dalam pada itu, seorang ibu berumur 54 tahun dari Birmingham, Carol Fairfax berkata, dia dan anak lelakinya, Charlie serta kakaknya, Karen Chamberlain, 57, mendirikan khemah untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

“Ibu kami datang ke London dalam tahun 1953 (pertabalan Ratu Elizabeth II) . Kami berada di sini untuk menyatakan rasa bangga dengan keluarga diraja,” kata Chamberlain.

Sebahagian besar kos istiadat pertabalan itu dianggarkan sekitar £100 juta (RM560.79 juta), adalah untuk kawalan keselamatan

Kira-kira 7,000 anggota tentera mengambil bahagian dalam istiadat pertabalan tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI