fbpx

Belajar masak lepas doktor kata hayat tinggal enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZUL (kanan) dan Kamal Hamidi menunjukkan menu laksa utara, kari kepala ikan, nasi daging air asam dan sup utara yang menjadi signature Restoran Serambi Emak di Melaka semalam.

MELAKA – Selepas didiagnosis kanser darah dan hayatnya dijangka bertahan hanya enam bulan, seorang lelaki nekad mempelajari semula resipi di­ajarkan arwah ibunya sebelum berjaya membuka Restoran Serambi Emak, pada Mac lalu.

Ahmad Zul Ariff Ismail, 36, berkata, dia disahkan menghidap kanser pada 2015 ketika melakukan rawatan susulan selepas menderita penyakit batu karang di buah pinggangnya.

Katanya, doktor memaklumkan jangka ha­yatnya hanya ‘berbaki’ enam bulan dengan so­kongan ubatan bagi menggantikan rawatan kimoterapi.

“Ada dua insan yang pa­ling saya sayang dalam hidup iaitu arwah emak, Esah Che Man yang meninggal pada 2013 dan arwah nenek. Jadi bila mereka telah tiada, saya reda dengan apa yang akan terjadi termasuk ketika diberitahu hanya boleh hidup enam bulan lagi.

“Saya teruskan kehidupan seperti biasa dan pelajari semula resipi-resipi yang pernah diajar emak, arwah memang terkenal sebagai seorang tukang masak di kampung di Kuala Sungai Baru,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, selepas tempoh enam bulan, dia masih mampu melakukan aktiviti harian se­perti biasa dan tahap kesihatannya beransur pulih sehingga diisytihar bebas daripada kan­ser pada 2021.

“Ia bagaikan peluang kedua untuk teruskan hidup de­ngan lebih baik dan saya ambil keputusan untuk buka Restoran Serambi Emak bersama rakan baik, Kamal Hamidi Ali, 31, di Kota Fesyen MITC, Ayer Keroh di sini,” katanya.

Jelasnya, lebih 25 menu yang dijual merupakan resipi pe­ninggalan ibunya dan perkongsian keluarga Kamal yang sebelum ini mempunyai kedai makan di Sungai Petani.

Antara juadah signature ialah nasi daging air asam, laksa ikan, sotong atau udang, bihun sup utara, gulai batang pisang dan kari kepala ikan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI