fbpx

Air ketum campur najis lembu setaraf dadah berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Air ketum yang dicampurkan bahan kimia seperti ubat nyamuk atau najis lembu mahupun khinzir mempunyai kesan ketagihan yang lebih teruk daripada dadah yang tersenarai dalam jadual Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi berkata, kajian di lapangan mendapati permasalahan pengambilan air ketum semakin parah dan boleh menjurus kepada permasalahan penagihan yang lebih besar.

“Sekiranya gejala meminum air ketum ini tidak dikawal lebih awal, negara dikhuatiri akan ada dibanjiri lambakan penagih dadah baharu jenis ketagihan air ketum.

“Ketum perlu diwartakan sebagai satu dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya seperti yang dicadangkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengambilan ketum kini semakin menular ke seluruh lapisan masyarakat dengan beranggapan sebagai air ubat yang memberikan kesihatan.

“Air ketum mungkin ada kebaikan sebagai air herba jika diambil dalam kuantiti sukatan pakar perubatan.

“Bagaimanapun, jika dicampur dengan bahan kimia seperti ubat nyamuk atau direbus bersama najis lembu atau khinzir untuk memberikan efek ‘kick’ yang lebih, air itu telah jadi dadah yang boleh menyebabkan ketagihan,” katanya.

Tambah Raja Azizan, perubatan kampung membabitkan ketum mungkin hanya diminum dalam sukatan sesudu atau dua bagi tempoh setahun apabila ada penyakit yang mereka percaya boleh menyembuhkannya seperti demam aedes.

“Masyarakat kini ada yang mengambil air ketum sehingga tiga ke lima paket sehari, sehingga menjadi satu ketagihan bahan terlarang yang semakin drastik.

“Hal ini perlu ditangani dengan segera melalui perundangan yang jelas dari segi penguatkuasaan, pencegahan dan juga pemulihan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI