PETALING JAYA – Hanya kira-kira 16 peratus atau kira RM1.47 juta lagi sumbangan diperlukan bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1, Wan Muhammad Naail atau Naail.
Perkara tersebut dikongsi di laman Instagram Misi Rakyat yang kini aktif membantu adik Naail mengumpul derma untuk mendapatkan rawatan menggunakan ubat jenis Zolgensma (gene theraphy) yang mencecah RM9 juta.
Menurut Misi Rakyat, jumlah keseluruhan kutipan bagi kanak-kanak itu kini mencecah RM7,522,407 sehingga kelmarin.
“Tinggal lagi 16 peratus sahaja lagi, teruskan ‘share’ (kongsi) pada semua. Terima kasih semua yang tidak putus-putus sebarkan,” tulis Misi Rakyat.
Terdahulu, sebelum ini Kosmo! melaporkan pelakon terkenal, Fattah Amin telah berkongsi tentang masalah kesihatan anak saudaranya, Naail yang menghidap penyakit jarang jumpa, (SMA) Type 1.
Difahamkan, kos rawatan bagi penyakit tersebut mencecah RM9 juta dan gambar yang dikongsikan Fattah menerusi Instagram adiknya, Raihan Amin, jelas dilihat Naail sentiasa memerlukan alat bantuan pernafasan untuk terus bernyawa.
Berdasarkan maklumat yang diberi Raihan, penyakit tersebut menyebabkan otot-otot Naail semakin hari semakin lemah termasuk otot paru-paru menyebabkan Naail terpaksa bergantung pada mesin bantuan pernafasan.
Jelas Raihan, keupayaan untuk menelan air liur pun semakin merosot.
“Untuk hentikan, Naail perlu segera dapatkan ubat yang paling efektif setakat ini iaitu Zolgensma (gene theraphy) yang harganya mencecah RM9 juta,” katanya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pemilik Founder Misi yang terkenal dengan kutipan awam bagi menjayakan misi bantuan tertentu dan bertindak membuka tabung untuk Naail sebagai inisiatif. -KOSMO! ONLINE