KLANG – Empat pemancing menempuh detik cemas apabila terkandas selama enam jam selepas bot dinaiki mereka rosak di perairan Pulau Tengah di sini, malam tadi.
Kesemua mangsa dikenali sebagai Asfian Abu Bakar, 44; Arfan Rafiq Asfian, 18, Zamri Che Ani, 45, dan Ahmad Ali, 66.
Mereka yang masing-masing menetap di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Ampang itu berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pukul 9.45 malam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.
Katanya, bot pancing itu terkandas selepas mengalami kerosakan kira-kira 1.6 batu nautika selatan Pulau Tengah.
“Empat mangsa yang memakai jaket keselamatan itu ditemui selamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Mereka kemudian dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah manakala bot itu terpaksa ditinggalkan kerana kebocoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Siva Kumar, operasi itu ditamatkan sepenuhnya pukul 1.35 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE