KULIM – Lebih 2,000 penduduk di Taman Ria, Padang Serai di sini mengeluh apabila dibelenggu masalah jalan rosak dan berlopak sejak setahun lalu.
Dakwa penduduk, masalah itu tidak dapat diselesaikan walaupun aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin setempat.
Seorang penduduk, Mohamad Syazwan Mohd. Aznan, 25, berkata, dia kesal dengan kelewatan pihak berkuasa membaik pulih jalan tersebut yang menjadi laluan utama mereka.
Menurutnya, terdapat lebih 10 lopak yang bersaiz besar dan kecil di sepanjang jalan tersebut.
“Saya difahamkan penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada PBT dan pemimpin masyarakat setempat berhubung masalah jalan yang rosak itu sejak setahun lalu.
“Namun, tiada tindakan diambil pihak terlibat, malah keadaan semakin teruk sehingga membahayakan penduduk,” katanya semasa ditemui di sini semalam.
Mohd. Aznan Abdul Aziz, 55 pula berkata, penduduk yang melalui jalan tersebut terutama pemandu kereta akan menghadapi masalah kerana keadaan jalan yang tidak rata.
“Jalan yang rosak di taman ini memberi masalah kepada penduduk serta pengguna yang berulang-alik ke tempat kerja.
“Saya berharap PBT dapat mengambil tindakan segera dengan membaiki jalan tersebut bagi memberi keselesaan kepada penduduk,” jelasnya.
Seorang pengguna laluan itu, Ahmad Hassan, 45, berkata, masalah bertambah buruk ketika musim hujan apabila lopak dipenuhi air hujan.
“Keadaan ini sangat membahayakan penunggang motosikal yang tidak nampak ada lubang di situ,” katanya.
Justeru, dia berharap pihak berkaitan dapat membaik pulih jalan itu dengan segera. -KOSMO! ONLINE