BANGKOK – Seekor ular tedung menyembur bisa pada mata seorang pegawai Agensi Pencegahan Bencana di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand, lapor laman berita Thaiger semalam.
Unit Penyelamat Hook 31 dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku di Kampung Ban Tanot, daerah Mueng itu pada pukul 7.40 malam (waktu tempatan).
Setibanya di lokasi kejadian, mereka mendapati mangsa yang bernama Kriengsak Klang, 49, berada dalam kesakitan.
Seekor ular tedung ludah Siam (Naja siamensis) sepanjang 1 meter didapati mati di atas lantai.
Anggota penyelamat kemudian memasukkan Kriengsak ke dalam ambulans dan membawanya ke Hospital Maharat Nakhon Ratchasima.
Ketika dalam perjalanan, mereka membasuh mata Kriengsak dengan air garam, manakala tindakan pantas itu menyelamatkan mangsa daripada menjadi buta.
Menurut Kriengsak, dia sedang mandi sebelum syif malam apabila rakan sekerjanya meminta bantuan untuk menangkap ular di dalam rumah penduduk kampung.
Kriengsak keluar dari bilik mandi, mencapai sarung tangan penangkap ularnya dan bergegas ke tempat kejadian.
Akibat tergesa-gesa, dia tidak membawa semua peralatan pelindung diri yang biasa dipakainya untuk menangkap ular tedung berbisa.
Sebaik tiba, dia mendapati ular tedung itu berada di atas penyapu. Ketika cuba menangkap haiwan itu, ia meludahkan bisa ke matanya. – Agensi