fbpx

Sukan SEA Kemboja 2023: Skuad B-22 negara tumpas kepada Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Thailand, Purachet Thodsanid cuba diasak pertahanan skuad B-22 negara, Harith Haiqal pada aksi kali ini. - Foto ihsan Facebook Changsuek

PHNOM PENH – Harapan skuad bawah 22 (B-22) negara untuk mencuri mata berharga tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada Thailand pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Prince sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian E. Elavarasan itu membuat kejutan apabila merombak kesebelasan utama dengan meletakkan pemain seperti T. Saravanan dan Fergus Tierney mengemudi jentera serangan.

Keputusan tersebut ternyata memakan diri apabila skuad muda Harimau Malaya lebih banyak bertahan dengan Thailand yang dikendalikan oleh Ithsara Sritharo lebih banyak mendominasi perlawanan.

Peluang terbaik Gajah Perang hadir pada minit ke-27 tetapi percubaan yang dilakukan oleh Channarong Promsrikaew berjaya ditepis penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel.

Bersambung pada separuh masa kedua, aksi dilihat lebih seimbang apabila Elavarasan memasukkan pemain seperti Mukhairi Ajmal dan Najmudin Akmal Kamal Akmal bagi menguatkan lagi jentera tengah.

Namun, situasi tersebut tidak menghalang Thailand untuk terus mengasak kubu Malaysia dengan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-72 hasil ledakan pemain gantian, Anan Yodsangwal.

Pasukan Thailand semakin ghairah untuk menggandakan asakan dan kini giliran Yotsakon Burapha untuk menyudahkan peluang terhidang dengan Sikh Izhan tewas pada situasi satu lawan satu berselang 11 minit kemudian.

Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan dan kini skuad negara akan bertemu Vietnam pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan di venue yang sama pada Isnin ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI