fbpx

Skuad B-22 Malaysia sedia kejutkan Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD B-22 negara giat menjalani latihan menjelang perlawanan Kumpulan A menentang Thailand pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Prince, Phnom Penh malam ini.

SKUAD bawah 22 tahun (B-22) negara terdesak untuk memastikan kemenangan bergaya yang dicatatkan pada aksi pertama Kumpulan A bukan sekadar nasib, sebaliknya akan berusaha mengejutkan ‘pasukan pilihan’, Thailand pada perlawanan kedua hari ini.

Sebagai rekod, skuad muda Harimau Malaya memulakan temasya sukan dwitahunan Asia Tenggara dengan langkah kanan selepas mengatasi Laos 5-1 sekali gus melaungkan amaran awal dalam usaha melangkah jauh pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Ketua jurulatih skuad B-22 negara, E. Elavarasan mengakui pasti ada peminat sudah mula menaruhkan harapan yang tinggi kepada anak-anak buahnya tampil lebih garang apabila menentang skuad Gajah Perang nanti.

“Bagi penyokong negara, saya ucapkan terima kasih (kerana memberi sokongan penuh) dan pasti sasaran mereka selepas ini lebih tinggi.

“Namun, kita kena lihat bahawa Thailand adalah pasukan yang bersedia dan mereka juga harus faham persediaan pasukan seperti Vietnam juga melakukan persediaan lebih rapi.

“Apa yang saya harapkan apabila kita lawan Thailand nanti ialah kita boleh tahu kekuatan sebenar pasukan sama ada barisan pemain ­sudah boleh mengatasi kehebatan negara seperti Thailand mahupun Vietnam.

“Sukar untuk saya katakan (ramalan ­keputusan) tetapi apa yang boleh saya katakan kita boleh memberi saingan kompetitif dan belajar sesuatu,” kata Elavarasan yang juga penolong jurulatih skuad senior Harimau Malaya.

Skuad Thailand yang dikendalikan oleh Issara Sritaro dilihat memiliki sedikit kelebihan memandangkan pasukan itu memiliki tempoh rehat lebih lama selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Singapura.

Sementara itu, pemain skuad B-22 Thailand, Purachet Thodsanit memberi amaran kepada rakan-rakan sepasukan bahawa pasukan Malaysia boleh mendatangkan ancaman sekiranya tidak berwaspada sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kita telah melakar kemena­ngan pertama (ke atas Singapura) tetapi Malaysia adalah pasukan yang berbeza dan lebih kuat. Saya pasti jurulatih (Sritaro) memiliki perancangan tersendiri untuk menewaskan lawan nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI