SAAT penulisan ini dinukilkan, hujan membasahi bumi Kuala Lumpur, tanah sama yang pernah menyaksikan jatuh bangun bintang bernama Ridzuan Hashim itu seperti sama berduka.
Berselang kurang seminggu selepas industri seni air kehilangan sebutir permata negara, Raja Funfair Allahyarham Mael XPDC, ‘raja’ gangster Kuala Lumpur pula menyusul ke rahmatullah secara mengejut.
Allahyarham Ridzuan Hashim atau terkenal dengan gelaran ‘King’ menerusi watak ikonik, raja gangster Kuala Lumpur (KL Gangster) sudah tiada.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun, Khamis sekitar pukul 2 petang disebabkan serangan jantung.
Benarlah bahawa urusan rezeki, jodoh dan maut semuanya sudah ditetapkan Ilahi. Siapalah kita manusia kerdil lagi lemah untuk melangkaui realiti hidup sendiri atau orang lain.
Penulis secara peribadi tidak mengenali rapat insan bernama Ridzuan Hashim, namun dari jauh, beliau dilihat sebagai sosok lelaki berprofesion pelaku seni yang teguh dengan ciri kejantanan tersendiri.
Fizikal tegap, berkepala botak licin berhias kumis bersambung kemas melengkapi struktur wajah menjadikan penampilan beliau begitu maskulin biarpun sudah berusia.
Model, iklan
Ironi, ketika muda Ridzuan seorang model terkenal di pentas peragaan dan banyak iklan komersial.
Barangkali disifatkan ‘jambu’ dan menjadi dambaan ramai wanita ketika mula mendarat di lapangan seni waktu dirinya masih ‘hijau’ menelusuri onak dunia seni.
Allahyarham menemui era kegemilangan pada awal tahun 1990-an. Wajah kacaknya sering menghiasi banyak filem dan drama televisyen sehingga pernah memenangi beberapa anugerah perfileman dan televisyen atas keberkesanan lakonannya.
“Saya bermula daripada model pentas tahun 1983. Daripada ‘modeling’, saya dah buat 35 iklan TV.
“Dari situ, Habsah Hassan (penerbit) nampak muka saya muncul di iklan. Drama pertama saya juga melalui uji bakat.
”Drama Adam dan Hawa adalah yang pertama untuk siaran RTM (1986),” ujar Allahyarham dalam satu temu bual bersama media empat tahun lalu ketika hayatnya masih dikandung badan.
Ketika masih hidup, beliau juga pernah membintangi beberapa filem antarabangsa sekali gus menjadi debut perdananya ke pentas Hollwyood.
“Filem-filem antarabangsa yang saya pernah buat sebelum ini seperti Beyond Rangooon pada 1995,” katanya.
Ridzuan juga pernah membintangi filem Bollywood berjudul Don 2 membawakan peranan bernama Jaruwan. Itu merupakan percubaan sulungnya dalam dunia Bollywood.
Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhirnya pada usia 62 tahun.
Dalam kehidupan peribadi, anak jati KL kelahiran 13 Ogos 1961 itu pernah berkahwin dengan aktres Didie Alias pada tahun 1991 dan dikurniakan lima orang anak.
Biarpun sudah berpisah pada 2002, Allahyarham tetap mempunyai hubungan baik dengan bekas isteri Jika tidak, masakan Didie menjadi insan paling terkesan dengan pemergian Ridzuan.
Dari awal kematian sehingga dimasukkan ke liang lahad, Didie menjadi galang ganti, bersama anak-anak menguruskan perjalanan akhir lelaki paling berimpak dalam hidupnya.
“Walaupun bekas suami dia tetap ayah kepada anak-anak saya,” kata Didie yang berasakan tanggungjawabnya menemani arwah sehingga ke liang lahad.
Biar tidak terikat dengan tali bernama perkahwinan, keindahan hubungan mereka tetap berlangsung harmoni.
Dalam soal karier, tidak lama sebelum berpulang, Allahyarham sempat meninggalkan karya layar perak terakhir menerusi lakonan dalam filem Daddyku Gangster juga memegang watak King.
Terkenal dengan watak bengis atau lelaki miang saat melewati usia 50-an, Ridzuan antara aktor terbaik sinema Malaysia.
Beliau pernah meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) kesembilan menerusi filem Hati Bukan Kristal.
Sebuah naratif seni yang panjang laluan Ridzuan Hashim. Dari segi fizikal, beliau antara sosok yang ‘paling jantan’. Nilai maskulin terpancul dengan hanya memandang dirinya dengan sekias lirikan mata terlihat.
Damailah Allahyarham Ridzuan Hashim. Doa tulus mengiringi agar dikabulkan husnul khotimah.