ALOR SETAR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Proklamasi Orang Melayu yang ditandatangani Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu bukan bertujuan untuk memancing undi Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Tuan Ibrahim, proklamasi tersebut sebenarnya sudah bermula lebih awal lagi iaitu pada Mac lalu.
“Sebenarnya proklamasi ini sudah mula dengan awal, sebelum ada apa-apa berita tentang PRN lagi. Ia sepatutnya dibuat pada Mac, jadi tak ada kaitan dengan pilihan raya pun.
“Tetapi kerana masa itu semua premis yang dimohon tiba-tiba dibatalkan pada saat akhir sehingga menimbulkan keadaan untuk kita putuskan operasi gagasan ini dilakukan melalui pertubuhan atau individu yang menandatangani dan menyokong proklamasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Kompleks Kota Sarang Semut, di sini hari ini.
Kata Tuan Ibrahim lagi, Proklamasi Orang Melayu itu juga tidak membabitkan isu parti politik dan ia berada di luar kerangka politik.
Kosmo! Rabu lalu melaporkan beberapa pemimpin Pas termasuk presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menegaskan Pas tiada kaitan dengan dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan termasuk memiliki akuan sumpah berkanun (SD).
Namun, pihaknya bersedia terhadap sebarang kemungkinan, selagi perkara itu berada dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan proses demokrasi negara. – KOSMO! ONLINE