PETALING JAYA – “Kau ni memang jenis suka paksa orang ya?.”
Antara ayat yang diterima Naim Ismail selepas menuntut hutang RM800 daripada bekas penyewa ‘food truck’ miliknya.
Katanya, hutang tersebut sudah tertunggak sejak 2019 lagi dan sehingga kini belum dilunaskan sebarang bayaran.
“Dulu pernah sewakan ‘foodtruck’ dekat orang ini lima bulan. Lima bulan itu memang macam pengemis nk mintak duit sendiri. Lepas lima bulan nak minta balik ‘foodtruck’ nak beri orang lain sewa. Bila minta hutang tertunggak ini respon dia.
“Dulu dia hutang akhir tahun 2019. Aku minta hutang akhir tahun 2020. Selepas itu aku senyap sampai tahun ini. Tengok respon dia macam mana pula.
“Ini aku post (muat naik hantaran) pun sebab tahu memang dah tak ada harapan aku nak dapat duit aku. Memang tuntut akhirat nanti sahaja,” katanya pada hantaran yang dimuat naik di kumpulan Facebook, B40 Buat Apa Harini kelmarin.
Dalam pada itu, Naim turut berkongsi beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp dia bersama individu tersebut sebagai bukti kepada kisah yang diceritakan.
“Terus abaikan WhatsApp aku. Lama dah aku sabar nak viralkan muka kau dekat group (kumpulan) geng viral. Hari ini (16 April) hari akhir aku bagi, RM800 tak masuk akaun aku, aku post (muat naik) dekat Facebook,” katanya kepada individu tersebut.
Bagaimanapun, kiriman mesej Naim itu dibalas dengan kata-kata sinis dan perlian oleh individu terbabit.
“Apa masalah kau ini, kau paksa-paksa orang suka-suka. Kau ini memang jenis suka paksa orang ya?.
“Kau tak kerja kah paksa-paksa orang, lepas itu nak minta cara paksa,” balas individu tersebut.
Perkongsian Naim itu ternyata menerima pelbagai reaksi pengguna Facebook di ruangan komen termasuklah yang meninggalkan kata kecaman terhadap individu berkenaan kerana telah menyusahkan orang lain.
“Pandai berhutang, nak bayar bukan main liat, pemberi hutang pula jadi pengemis minta duit sendiri. Memang ramai jenis manusia macam ini. Berhati-hatilah kalau nak beri duit atau beri hutang kepada orang lain termasuklah keluarga sendiri,” pesan Alias.
“Buat sahaja tuntutan di mahkamah. Pergi dekta kaunter mahkamah cakap saya nak buat tuntutan kecil ke atas orang berhutang. Nanti pihak mahkamah akan panggil si penghutang masuk mahkamah dan selesaikan di sana,” cadang Faisal. – KOSMO! ONLINE