LONDON – Serangan kulat yang meningkat terhadap tanaman penting mengancam jaminan bekalan makanan pada masa hadapan, kata saintis-saintis yang turut memberi amaran bahawa kegagalan menangani patogen kulat bakal mengundang malapetaka global, lapor akhbar The Guardian.
Kulat menjadi pemusnah terbesar tanaman dan sangat berdaya tahan. Sporanya tersebar jauh apabila dibawa angin dan boleh ‘menyerang’ ladang yang luas. Ia juga semakin kebal terhadap racun pertanian.
Impak serangan kulat dijangka semakin buruk, kata saintis-saintis berikutan krisis iklim yang melanda dunia.
Sejak tahun 1990-an, patogen kulat bergerak ke latitud yang lebih jauh pada kadar sekitar 7 kilometer setahun.
Penyakit karat batang gandum akibat jangkitan kulat sebelum ini hanya berlaku di kawasan iklim tropika tetapi kini dikesan di England dan Ireland.
Suhu lebih tinggi mendorong kemunculan varian baharu patogen kulat, manakala ribut lebih ekstrem dan kerap menyebarkan sporanya dengan lebih jauh, kata saintis-saintis.
Pakar jaminan makanan, Profesor Sarah Gurr dari Universiti Exeter berkata, parasit itu baru-baru ini menjadi perhatian umum melalui program televisyen popular, The Last of Us di mana ia menjangkiti otak manusia.
“Walaupun dianggap sebagai sains fiksyen, kami memberi amaran bahawa kami boleh melihat malapetaka kesihatan global berpunca daripada penularan pesat jangkitan kulat di seluruh dunia.
“Walaupun jangkitan kulat mungkin tidak menukarkan manusia menjadi zombi seperti paparan The Last of Us, ia boleh mencetuskan krisis kebuluran global,” katanya.
Saintis-saintis berkata, terdapat juga risiko pemanasan global akan meningkatkan toleransi haba kulat. Ini akan meningkatkan risiko kulat melompat ke perumah baharu untuk menjangkiti spesies berdarah panas seperti mamalia dan manusia.
Pakar kulat, Profesor Eva Stukenbrock dari Universiti Kiel berkata: “Memandangkan populasi global diunjurkan meningkat, manusia akan berdepan cabaran yang belum pernah berlaku melibatkan pengeluaran makanan.
“Kami sudah melihat kerugian tanaman yang besar akibat jangkitan kulat. Trend membimbangkan ini dijangka bertambah buruk ekoran Bumi semakin panas,” katanya.
Amaran itu dikeluarkan dalam satu artikel mengenai kajian kulat dan menyatakan bahawa petani kehilangan antara 10 hingga 23 peratus hasil tanaman mereka akibat penyakit berkaitan kulat.
Sebanyak lima tanaman paling penting iaitu beras, gandum, jagung, kacang soya dan kentang boleh terkena jangkitan kulat sehingga menyebabkan kerugian tahunan yang boleh memberi makan kepada ratusan juta penduduk dunia.
Kulat berada dalam senarai enam makhluk perosak teratas dan sangat berdaya tahan, kata kumpulan penyelidik. Ia boleh hidup di dalam tanah sehingga 40 tahun, manakala sporanya yang dibawa angin, boleh melintasi benua.
“Selepas puting beliung di AS, anda boleh melihat spora telah disedut dan pergi dalam pelayaran jarak jauh,” kata Gurr.
Menurutnya, racun kulat sedia ada dan pembiakan konvensional tumbuhan rintang penyakit tidak lagi cukup untuk menghadapi ancaman kulat.
“Jika kita tidak cukup makan, kekurangan zat makanan boleh membunuh kita sebelum kita dijangkiti penyakit seperti Covid-19. Namun, (penyelidikan kulat) tidak mendapat pembiayaan seperti yang diberikan untuk kajian berkaitan penyakit perubatan lain,” kata Gurr.
Saintis-saintis berkata, penyelidikan patogen kulat di Britain mengalami kekurangan dana yang sangat serius.
Kata mereka, peruntukan £550 juta (RM3.07 bilion) telah diberikan untuk penyelidikan Covid-19 oleh Majlis Penyelidikan dan Inovasi Britain dari 2020 hingga 2022 sedangkan dana penyelidikan patogen kulat dalam tempoh sama cuma £24 juta (RM134.10 juta). – AGENSI