fbpx

Kerajaan Perak kukuh sehingga habis penggal – Saarani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (dua dari kanan) melihat replika rumah pada Majlis Pelancaran Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran MK Land di Taman Meru Perdana 2 di Ipoh hari ini. Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI/ KOSMO!

IPOH – Kerajaan Perpaduan di Perak masih kukuh walaupun terdapat pelbagai dakwaan dan khabar angin berkaitan pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar Julai ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, desas-desus itu sama sekali tidak berasas memandangkan tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menunjukkan tanda untuk meninggalkan kerusi kawasan masing-masing.

“Di Perak, kita ada 59 kerusi DUN, jadi untuk tubuhkan kerajaan negeri, mana-mana gabungan perlu membuktikan kepada Sultan Perak yang mereka ada sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN.

“Sekarang, pembangkang ada 26 kerusi dan kerajaan pula ada 33 kerusi, jadi mereka perlu cari lagi empat kerusi untuk menjadi kerajaan.

“Empat kerusi ini mahu cari di mana? Lagipun kita ada Akta Lompat Parti, jika mereka ‘lompat’, maka kerusi itu akan diisytiharkan kosong dan perlu diadakan semula pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran MK Land Holdings Berhad (MK Land) di Taman Meru Perdana 2, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, mana-mana ADUN kerajaan dinasihatkan supaya membuat pertimbangan sewajarnya sekiranya ada antara mereka menerima tawaran melompat parti.

“Jadi orang politik ini kena cerdik, jangan mudah termakan (umpan). Fikir semula, bila mereka lompat, mereka akan gugur sebagai ADUN dan tidak boleh lagi bertanding mewakili kawasan itu.

“Tapi saya yakin, sebab bila saya periksa dengan ADUN Pakatan Harapan (PH), tiada siapa pun yang tunjuk tanda teruja untuk tinggalkan DUN masing-masing begitu juga dengan ADUN daripada Barisan Nasional (BN).

“Jadi di Perak, saya tidak rasa ada (cubaan jatuhkan kerajaan), di tempat lain saya tidak pasti. Rakyat di negeri ini jangan susah hati, insya-Allah kerajaan ini kukuh sehingga tamat tempoh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI