FOKUS skuad bola tampar lelaki kebangsaan kini diberikan untuk aksi terakhir Kumpulan B menentang Vietnam esok selepas mencerahkan peluang dengan melakar kemenangan 3-1 ke atas Myanmar semalam.
Pada aksi di Stadium Tertutup Olimpik, Phnom Penh itu, skuad negara mempamerkan kebangkitan dramatik apabila ketinggalan satu set 20-25 sebelum cemerlang menang tiga set terakhir 25-21, 25-14 dan 25-20.
Kapten skuad negara, Sim Jian Qin mengakui kemenangan tersebut menyuntik moral pasukan untuk mempamerkan prestasi lebih cemerlang pada aksi terakhir kumpulan menentang Vietnam di venue sama esok.
“Saya sangat berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan pada perlawanan ini kerana bukan mudah untuk kita bangkit terutama selepas tewas pada set pertama.
“Namun, semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh barisan pemain wajar dipuji kerana kita tidak lagi rasa gemuruh dan selesa dengan keadaan gelanggang.
“Mengenai perlawanan bertemu Vietnam, saya percaya apa sahaja boleh berlaku walaupun di atas kertas, mereka adalah pasukan pilihan tetapi kita akan tetap berjuang untuk mara ke peringkat separuh akhir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara yang beraksi di posisi setter, Khairol Shazrimie turut percaya Vietnam tidak begitu kebal dan boleh ditewaskan.
“Kita sudah kaji perlawanan melibatkan Vietnam sebelum ini dan lihat peluang untuk kedua-dua pasukan tetap 50-50. Saya percaya, dengan perancangan taktikal yang baik, kita boleh lakar keputusan positif nanti,” katanya.