GOMBAK – Ahli keluarga seorang warga emas berdepan detik cemas apabila wanita itu hilang lebih dua jam selepas membuang air kecil di kediamannya terletak di kawasan kuari, Bandar Baru Selayang, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Bainah Long, 79, disedari hilang kira-kira pukul 1 pagi dan gagal ditemui sebelum panggilan kecemasan dibuat oleh ahli keluarganya.
Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor, seramai sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang tinggal dengan tiga ahli keluarga hilang ketika bangun daripada tidur dan ingin membuang air kecil di rumahnya yang dibina di hutan simpan.
“Pihak Bomba bertindak mencari mangsa di kawasan gaung di belakang rumahnya dengan anggaran kedalaman 12 meter.
“Pada pukul 3.40 pagi, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Hafisham, mangsa dihantar ke Hospital Selayang menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM). – KOSMO! ONLINE