fbpx

Pengawal keselamatan maut tertimbus dalam runtuhan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak Bomba giat mencari dan menyelamatkan mangsa yang tertimbus sedalam tiga meter dalam satu runtuhan tanah di Wisma YPR, Off Jalan Syed Putra, tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan maut setelah tertimbus sedalam tiga meter dalam satu runtuhan tanah di Wisma YPR, Off Jalan Syed Putra, di sini, tengah malam tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.54 tengah malam.

Jelasnya, seramai 37 anggota bersama jentera, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jalan Hang Tuah, BPP Seputeh digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di kawasan tersebut pada pukul 1.05 pagi, didapati berlaku runtuhan tanah daripada batu penahan tebing di tepi bangunan tersebut setinggi lebih enam meter.

“Runtuhan itu menghempap sebuah pondok pengawal yang berada berhampiran dan melibatkan seorang mangsa lelaki pengawal keselamatan yang tertimbus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, pencarian mangsa dilakukan oleh pasukan Bomba dengan bantuan unit K9, STORM dan jentolak dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ujarnya, mangsa berjaya dibawa keluar pada pukul 6.23 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik.

“Mangsa kemudian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi pencarian turut di bantu oleh agensi dari pihak Polis, Angkatan Pertahanan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia dan DBKL.

“Buat masa sekarang pihak kami memasang sawar-sawar di kawasan tersebut sehingga pembaikan dilakukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI