PETALING JAYA – Seorang pemuda nyaris dipatuk ular senduk di tandas kediaman keluarganya ketika ingin masuk tandas berkenaan dalam kejadian dipercayai semalam.
Menerusi perkongsian Fizelmi Enterprise di akaun TikTok miliknya berkata, dia bernasib baik kerana menyedari kehadiran ular tersebut lebih awal.
“Mujur saya sedar dan sempat menarik kaki keluar dari tandas dan segera menutup pintu.
“Sekiranya terleka, sudah pasti saya sudah terpijak dan dipatuk,” katanya.
Tambahnya, dia segera menghubungi pihak bomba untuk menangkap ular berkenaan.
“Pihak bomba dihubungi dan ular tersebut berjaya ditangkap dengan selamat,” katanya.
Fizelmi dalam perkongsiannya menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan kehadiran reptilia berbahaya ini di rumah.
“Mohon tindih semua penutup lubang air dengan objek berat dengan segera untuk menghalang ‘tetamu’ tidak diundang terutamanya di musim panas,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berkongsi pengalaman serupa.
“Saya dulu tengah mengandung duduk basuh baju pakai tangan tiba-tiba terdengar bunyi mendesis. Toleh saja tengok anak ular tedung hitam dekat sebelah saya,” kata Mekja.
“Dalam salur air rumah saya siap ada kulit ular tertinggal,” ujar Muzana Mohamed.
Perkongsian tersebut tular sehingga memperoleh lebih 100,000 tontonan dan 1,316 tanda suka. – KOSMO! ONLINE