MARANG – Pulau peranginan terkenal, Pulau Kapas di sini menjadi tumpuan ramai terutama penduduk tempatan ekoran cuaca panas sejak lebih seminggu lalu.
Tinjauan mendapati mereka memilih untuk mandi-manda dan bersantai di pantai Pulau Kapas bagi meredakan bahang kepanasan.
Salah seorang pengusaha chalet di pulau peranginan tersebut, Hawa Abd. Rahman berkata, pantai pulau peranginan tersebut agak padat dengan pengunjung sepanjang musim cuti perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
“Pengunjung mula ramai bermula hari raya kedua sehingga cuti umum, Hari Pekerja semalam (kelmarin).
“Kami jangka trend kehadiran pelancong ini akan berterusan sehingga hujung minggu ini memandangkan Khamis ini (luasa) juga cuti umum, Hari Wesak, ” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Hawa berkata, kebanyakan pengunjung melakukan lawatan harian bersantai bersama keluarga masing-masing di tepi pantai pada sebelah pagi dan petang.
Pengusaha Ombak Kapas Island Beach Resort berkata, pakej lawatan harian menjadi pilihan utama kerana menjimatkan masa dan perbelanjaan pengunjung yang sekadar mahu bersantai meredakan kebahangan cuaca.
“Pakej lawayan harian ditawarkan amat berpatutan iaitu antara RM45 hingga RM55 seorang.
“Segelintir yang pada mulanya datang secara lawatan harian bersama keluarga mengubah fikiran menginap bilik resort disediakan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Nurul Hanisah Kamil, 41, mengakui lawatan harian dia bersama keluarganya ke Pulau Kapas secara spontan dan sekadar beriadah mahu meredakan bahang kepanasan.
“Kami rimas duduk di rumah kerana panas dan terus timbul idea untuk mandi-manda di Pulau Kapas yang tidak jauh dari rumah.
“Kos lawatan harian berpatutan dan perjalanan ke pulau peranginan itu dari jeti juga cuma 15 minit. Kami berkelah dan mandi-manda pada awal pagi sebelum beredar sebelum ‘matahari tegak’ pada 1 petang,” katanya.