LUMUT – Dua beradik yang terselamat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan kedua-dua ibu bapa dan adik mereka, kira-kira lima bulan lalu, masih merindui saat-saat indah ketika mereka masih hidup terutama sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri lalu.
Nur Aisyah Umairah Mohamad Adam, 7, dan Mohamad Hakimi Amsyar, 5, kini bergantung sepenuhnya kepada nenek mereka, Ropitah Din, 53, dan menetap bersamanya di Pengkalan Baharu, dekat Pantai Remes.
“Kadang-kadang mereka teringat juga (ibu bapa dan adik), ketika malam hendak tidur, apabila teringat (kenangan bersama keluarga) kakak (Nur Aisyah Umairah) akan peluk saya.
“Isnin lalu, sekolah tempat Mohamad Hakimi Amsyar belajar ada buat majlis sumbangan untuk anak yatim, apabila balik ke rumah dia termenung, pagi esoknya apabila bangun tidur dia memanggil ayahnya berulang kali,” jelasnya.
Dua anak yatim piatu itu adalah anak kepada suami isteri, Mohamad Adam Che Embi, 33, dan Nurhamizza Hamdan, 32, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kereta di Jalan Kampung Koh-Segari pada 10 Disember tahun lalu.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah anak bongsu mereka, Mohamad Aisy Hakim, 2, yang mana mereka lima sekeluarga menaiki kereta Proton Saga dalam perjalanan pulang ke rumah di Segari, sebelum bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Chevrolet Captiva.
Menurut Ropitah, perasaan rindu itu sudah tentu dirasai bukan sahaja oleh dua cucunya itu tetapi juga dia dan ahli keluarga lain kerana ini pertama kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri tanpa arwah.
Jelasnya, Nur Aisyah Umairah juga ada merindui persiapan raya yang dibuat arwah ibunya, namun kini neneknya adalah segala-galanya