KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu yang berpuas hati dengan tahap kebersihan di bandar raya ini pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru bersetuju memberi bonus kepada pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr. Alias Razak berkata, pemberian bonus RM300 itu melibatkan 196 kakitangan MBKT terbabit.
“Alhamdulillah, kita mencapai sasaran sifar aduan sama ada secara rasmi mahu pun di media sosial berhubung pengurusan sampah sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
“Saya boleh katakan situasi itu luar biasa memandangkan isu longgakan sampah sering menjadi rungutan penduduk setiap kali musim perayaan terutama Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Aidilfitri Petugas Kebersihan MBKT.
Alias berkata, tahap kebersihan membanggakan itu dicapai hasil perancangan teliti diambil pengurusan tertinggi MBKT dalam pengurusan sisa pepejal dan sampah sepanjang tempoh seminggu sebelum dan selepas perayaan.
Tambah beliau, kesemua petugas kebersihan MBKT amat komited dan bekerja keras memastikan kebersihan bandar raya ini sepanjang tempoh kiritikal terbabit.
“Mereka telah bertungkus-lumus termasuk bekerja pada awal pagi 1 Syawal mengutip dan membersihkan sampah yang telah meningkat berlipat ganda.
“Bagi saya mereka adalah hero sebenar. Komitmen tinggi mereka bekerja tanpa mengenal erti penat lelah, siang atau malam amat dihargai,” katanya. – KOSMO! ONLINE