KUALA SELANGOR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan arahan larangan sebarang aktiviti luar termasuk kokurikulum murid dan pelajar sekolah bagi mengelak serangan strok haba.
Arahan itu dikeluarkan menerusi satu pekeliling yang berkuat kuasa secara serta-merta mulai semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya meminta semua guru besar dan pengetua sekolah di seluruh negara mematuhi garis panduan terbaharu itu.
Katanya, keputusan mengenai larangan itu melibatkan semua kegiatan luar termasuk sukan, perkhemahan dan merentas desa.
“Ia melibatkan semua sesi persekolahan sama ada waktu pagi atau petang dan pembelajaran hanya dijalankan sepenuhnya dalam kelas atau bilik darjah.
“Larangan terkini itu meliputi garis panduan baharu yang ditetapkan KPM selepas turut memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan ekoran cuaca panas ketika ini,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Selamat Hari Raya Cikgu di Tanjong Karang di sini, hari ini.
Jelas Fadhlina, pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca dan suhu semasa dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Setakat ini, suhu sedia ada masih tidak menentu dengan berada pada tahap Amaran Satu.
“Jika berada pada amaran dua dan tiga selama tiga hari berturut-turut, kita akan memberi kelonggaran untuk sekolah dicutikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE