PUTRAJAYA – Kerajaan menzahirkan ucapan takziah kepada aktivis Palestin, Almarhum Sheikh Khader Adnan yang dilaporkan telah meninggal dunia ketika dalam tahanan di penjara Israel.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tokoh itu dilaporkan meninggal dunia di penjara Israel pada 2 Mei lalu selepas mogok lapar selama 86 hari.
“Kami difahamkan mogok lapar sebagai tindakan protes dan membantah penahanan sewenang-wenangnya pihak Israel terhadap rakyat Palestin serta layanan kejam terhadap tahanan.
“Kecuaian serta keengganan pihak berkuasa Israel menyediakan kemudahan perubatan menyebabkan kematian Almarhum dan tindakan itu sangat tidak berperikemanusiaan serta tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, semua pihak diseru menyatakan solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin yang masih dipenjarakan tanpa sebarang perbicaraan.
Mohd Na’im berkata, adalah amat menyedihkan tahanan Palestin di penjara Israel termasuk golongan wanita dan kanak-kanak terus ditindas oleh rejim Israel.
Menurutnya, kezaliman serta penyeksaan yang diperlakukan kepada tahanan Palestin adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.
“Dalam apa juga ruang yang ada, semua pihak perlu mengutuk tindakan rejim Israel sebagai isyarat jelas masyarakat dunia yang menolak sebarang bentuk kezaliman dan penganiayaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE