KUANTAN – Kanak-kanak lelaki yang diterbangkan dari Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam tidak mengalami strok haba sebaliknya mengalami jangkitan kuman di bahagian otak.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kanak-kanak berusia lapan tahun yang mengalami simptom sawan dengan demam, muntah dan keletihan itu didiagnosis mengalamai meningitis.
“Pesakit yang dibawa ke HTAA melalui Mercy Flight Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu seterusnya dirawat di Jabatan Kecemasan HTAA dan menjalani siasatan melalui CT Scan, pengambilan darah dan diberikan rawatan selanjutnya.
“Pesakit dalam keadaan stabil dengan diagnosis adalah meningoencephalitis iaitu jangkitan pada otak dan bukan strok haba seperti yang tular sebelum ini,”katanya di sini hari ini.
Hari ini terdapat laporan media menyatakan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai mengalami strok haba diterbangkan dari Pulau Tioman menerusi penerbangan ihsan TUDM malam semalam.
Menurut Nor Azimi berdasarkan laporan mendapati pada pukul 11.45 malam semalam satu kes dirujuk daripada Klinik Kesihatan Tekek Pulau Tioman ke HTAA dengan diagnosis meningitis atau jangkitan kuman.
Katanya kes tersebut melibatkan seorang kanak-kanak berumur lapan tahun dari Pulau Tioman yang mendapatkan rawatan dengan simptom sawan setelah mengalami demam, muntah dan keletihan selama dua hari sebelumnya.
Sementara itu beliau memberitahu maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan suhu harian bagi Negeri Pahang adalah kurang dari 35 darjah selsius dan masih terkawal.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlaku kesan kesihatan berikutan cuaca panas,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE