fbpx

Jadi pekerja produktif tanpa guna dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. YUNUS YAKKUB,
WAKIL KOSMO! SELANGOR

Tiga hari lalu, kita baru me­nyambut Hari Pekerja bagi menghargai tenaga kerja yang me­nyumbang kudrat dan akal fikiran demi kemajuan negara dan syarikat.

Di Malaysia, sambutan tersebut adalah kali ke-51 dengan pertama kali diraikan pada 1972.

Seusia itu juga, penyalahgunaan dadah di tempat kerja turut menjadi ancaman dengan kaedah pengambilan lebih ber­variasi.

Jika dahulu menggunakan suntikan, namun kini dadah melalui pelbagai evolusi sehingga ada yang menormalisasikannya dengan menjadikan dadah untuk kekal cergas dan produktiviti ketika bekerja.

Akhbar ini juga berulang kali melaporkan penglibatan semua peringkat termasuk golongan mahir dan profesional dalam pengambilan najis dadah.

Mengikut statistik sehingga 25 November 2022 pada laman open.dosm, Jabatan Perangkaan Malaysia, penagih dadah dalam kalangan pekerja sepenuh masa adalah 11,586 orang, pekerja separuh masa ( 4,328), penganggur (2,188) dan pelajar (103).

Tahap pendidikan pula me­nunjukkan, bagi yang tamat di peringkat sekolah menengah adalah paling ramai iaitu 13,714 individu, diikuti sekolah rendah (1,765), diploma (1,369), tiada pendidikan (1,241) serta pendidikan tinggi (116).

Biarpun pahit tetapi kita harus menerima dan berusaha untuk menanganinya serta bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran sosial seperti ini dari menjadi lebih serius.

Setiausaha Agung Majlis Pe­nyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff berkata, meskipun ramai menyatakan dadah adalah musuh nombor satu negara, namun dilihat masyarakat seperti tidak kisah dan cemas dengan keadaan itu.

Katanya, orang ramai juga tidak perlu takut digelar ‘hantu penguat kuasa’ kerana sekiranya tidak dilaporkan membuatkan ahli keluarga dan rakan mereka menjadi lebih teruk.

“Saya rasa pengedar dadah ini pada pandai memilih musim. Ada ketikanya tertumpu kepada pelajar, pekerja profesional dan anak-anak di rumah kos rendah.

“Natijahnya, seluruh masyarakat terlibat (termasuk bakal tenaga kerja negara). Semua perlu berganding bahu dan agensi terlibat tidak seharusnya bergerak solo dan menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pesaing mereka,” katanya kepada Kosmo!

Beliau mengakui, persekitaran kerja yang tidak kondusif ditambah tekanan sara hidup membuatkan ramai berlumba-lumba mahu meningkat produktiviti dan meraih pendapatan lebih dengan bekerja lebih masa.

Ujarnya, pujukan rakan-rakan khususnya bahawa tenaga mampu ditingkatkan menerusi dadah akhirnya membuat terjebak dalam bahan terlarang itu.

“Ada arkitek mengambil ais atau syabu supaya mampu konsisten membuat reka bentuk menarik, selain pekerja bahagian operasi atau pemandu bas dan lori yang memerlukan kudrat le­bih berjaga malam.

“Semangat mencuba juga tinggi termasuk golongan profesional yang mempunyai persepsi tidak akan menjadi ‘penagih teruk’ seperti golongan bawahan. Namun, ingatlah tiada yang baik sekiranya terjebak dalam penyalahgunaan dadah,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, propaganda pengedar sebenar­nya berjaya menyakinkan masyarakat apabila sesuatu jenis dadah, contohnya syabu tidak memberikan kesan besar berbanding heroin.

“Apa yang penting, jangan jadikan pekerjaan sebagai alasan terjebak dadah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI