fbpx

Hanya 27 peratus majikan berdaftar di Kelantan carum Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora (tengah) menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada Kasmara sempena lawatan Prihatin Perkeso di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu semalam. - Foto oleh ROSLIZA MOHAMED / KOSMO!

KOTA BHARU – Dianggarkan hanya 27 peratus daripada 26,291 majikan yang berdaftar di Kelantan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara bulanan untuk pekerja mereka.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, sehubungan itu, 19,146 majikan di negeri ini digesa supaya membuat caruman kepada pekerja mereka bagi mengelak daripada dikenakan tindakan sama ada didakwa atau dikompaun.

Menurutnya, berdasarkan rekod daripada peratusan jumlah yang dilaporkan, majikan yang aktif mencarum untuk pekerja mereka adalah seramai 7,145 orang.

“Berdasarkan statistik juga seramai 93,724 pekerja yang aktif di negeri ini dalam pelbagai sektor.

“Oleh itu, kita menggesa majikan yang belum mencarum kepada pekerjanya supaya berbuat segera bagi mengelak diambil tindakan selepas program pemutihan bermula 1 Mei hingga 30 Jun depan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis lawatan Prihatin Perkeso di Kampung Pulau Melaka di sini semalam.

Pada majlis itu, Nora menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada Kasmara Kadir, 48, selepas kematian suami, Nik Nordin Jusof, 51, yang meninggal dunia akibat kemalangan semasa bekerja sebagai pemandu bas.

Mengulas lanjut, Nora memberitahu, majikan yang belum mencarum Perkeso digesa supaya berbuat demikian dalam tempoh dua bulan tersebut sebelum tindakan tegas diambil untuk pendakwaan.

Katanya, setiap majikan perlu mengambil kira kebajikan pekerja bagi memastikan mereka mendapat manfaat sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini semasa bertugas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI