KERANA mulut badan binasa. Demikian peribahasa Melayu untuk menggambarkan tersalah pertuturan atau perkataan yang keluar dari mulut boleh memberi kecelakaan.
Orang dulu-dulu sudah memberi amaran betapa ‘penyakit’ mulut ini memberi kerosakan. Nikmat lidah kalau tidak hati-hati akan berbalik menjadi kebinasaan.
Lebih-lebih lagi dalam dunia yang serba content ketika ini pula. Menjadi perkara ‘wajib’ segala aktiviti harian perlu dipamer di media sosial Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan pelbagai platform lain.
Kuasa desakannya juga kuat. Lihat sahaja kuasa viralnya, silap-silap boleh ‘runtuh’ sesuatu perniagaan.
Netizen pun tidaklah kejam sangat jika isi kandungan itu baik dan memberi kemudahan kepada orang lain. Andai sebaliknya, tunggu sahaja netizen ‘meraikan’ dengan kecaman. Habis terhapus kebaikan media sosial.
Automatik jadi platform sebar keburukan, fitnah, cacian dan umpatan. Macam kes artis tersohor baru-baru ini. Habis diungkit netizen. Elok-elok orang tidak tahu, sampaikan artis berkenaan memotong barisan di stesen minyak pun tersebar.
Ramadan yang mulia, bulan keberkatan dipenuhi aktiviti penyucian jiwa baru hampir dua minggu berlalu. Tidak tunggu lama, masuk sahaja Syawal timbul kontroversi nasional sebegini. Netizen pun sudah boleh move on isu ini.
Kalau boleh biarlah orang berbicara tentang kebaikan kita. Tidak semestinya ada talaan muncung kamera baru kita terhegeh-hegeh buat kebaikan. Selalunya selepas sudah meninggal dunia, kebaikan yang dibuat itu sendiri akan timbul.
Kosmo! baru-baru ini ada melaporkan vokalis kumpulan XPDC, Allahyarham Mael atau Syed Ismail Syed Ibrahim antara individu yang mewakafkan tanah untuk pembinaan Kompleks Tahfiz An Nur Besut, Terengganu. Al-Fatihah buat Allahyarham.
Ini contoh-contoh kebaikan yang dilakukan ahli-ahli kumpulan XPDC. Tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Bukan tangan kanan memberi, tangan kiri berswafoto. Walaupun tiada salahnya bersedekah terang-terangan jika niat untuk mengajak orang ramai berlumba-lumba berbuat kebaikan.
Selepas musim perayaan ini, kewangan orang ramai sudah makin susut. Segelintirnya mungkin hanya cukup-cukup untuk isi minyak kenderaan ke tempat kerja.
Cerita rakan penulis yang bekerja di sebuah pejabat menteri di Putrajaya, menjadi kebiasaan ada individu datang meminta bantuan di pejabatnya. Daripada pemerhatiannya memang golongan ini benar-benar memerlukan. Jumlahnya bertambah sedikit selepas hari raya baru-baru ini.
Individu-individu ini akan memaklumkan mereka pengundi di kawasan Parlimen menteri berkenaan. Kadang-kadang datang bawa bil-bil elektrik atau air. Mereka mendakwa wang dalam poket hanya tinggal RM7, mahu pulang ke rumah pula tiada duit untuk isi minyak atau beli tiket bas.
Tarikh dapat gaji pula jauh lagi. Ya memang seronok orang puji baju raya kita cantik di media sosial. Semoga Syawal ini bukan menjadi bulan kita mengenang perbelanjaan bukan-bukan sehingga kering-kontang poket.