TUMPAT – Pelajar-pelajar kini lebih selesa memakai pakaian sukan di sekolah ketika cuaca panas melampau melanda negara ketika ini.
Seorang bapa, Mohd. Zapni Zainun, 50, berkata, kebenaran yang diberikan Kementerian Pendidikan (KPM) itu adalah satu langkah baik demi kesihatan anak-anak mereka.
“Pemakaian baju sukan lebih sesuai untuk murid-murid apabila tidak perlu terikat dengan uniform atau tali leher.
“Lagi pun pakaian seragam sekolah yang perlu memakai tali leher dilihat tidak sesuai dengan keadaan cuaca ketika ini,” katanya ditemui Kosmo! semalam.
Fatmawati Abdul Aziz, 40, pula memberitahu, ketika musim kemarau ini, kanak-kanak mudah menghidap pelbagai penyakit.
“Jadi, faktor pakaian perlu diambil kira, anak saya sangat tidak selesa memakai seragam dengan tali leher ketika cuaca mencecah 37 darjah Celsius,” katanya.
Bagi seorang pelajar, Aziz Fahmi Mohd. Farid, 15, berkata, dia lebih selesa memakai pakaian sukan ketika cuaca panas.
“Berpeluh-peluh jika dipakai uniform pada waktu ini. Selepas dibenarkan pakai baju sukan setiap hari, saya amat gembira kerana ia selesa,” ujarnya.