fbpx

Badan pembantu rumah melecur, didera majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah bukan sahaja lebam di mata dan muka, malah melecur hampir seluruh badan akibat didera oleh majikannya, di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, di sini.

Bukan itu sahaja, wanita warga asing berusia 39 tahun itu juga mengaku sering dipukul, ditampar dan pernah dicederakan oleh majikannya di bahagian tangan dengan menggunakan seterika sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan pada 23 April lepas kira-kira pukul 12.50 tengah hari yang mengesyaki jirannya mendera pembantu rumah.

“Sehubungan itu, sepasang suami isteri masing-masing berusia 34 dan 33 tahun merupakan majikan pembantu rumah itu ditahan pada hari yang sama.

“Siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan serius iaitu melecur hampir seluruh badan dan lebam di kedua-dua belah mata dan muka.

“Mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Amihizam, mangsa sudah bekerja sebagai pembantu rumah di lokasi kejadian selama lebih setahun dan seringkali dipukul serta dicederakan oleh majikannya.

Ujarnya, barang kes iaitu objek keras yang dipercayai digunakan oleh suspek mencederakan mangsa turut dirampas bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara semalam dan majikan mangsa akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur esok.

Kes akan dibicarakan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI