MELAKA – Tiga beradik di Kampung Gelam di sini terpaksa melupakan keseronokan menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini selepas bapa mereka disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap 4, awal tahun ini.
Menurut ibu mereka, Suhana Jaafar, 38, kini keluarganya terpaksa mencatu perbelanjaan harian demi memastikan kos pengangkutan dan rawatan suaminya, Megat Asraff Megat Adam, 43, di Hospital Serdang, Selangor dapat ditampung.
Ujar suri rumah itu, suaminya dikesan menghidap kanser buah pinggang selepas membuat imbasan x-ray dan tomografi berkomputer (CT Scan) berkenaan dengan masalah usus yang dihidapi.
“Sebenarnya suami pergi ke hospital selepas berasa sakit di bahagian kiri perutnya dan hasil imbasan doktor memaklumkan, ususnya telah bocor.
“Doktor turut mengesan keadaan buah pinggang kanannya telah diselaputi sesuatu sebelum mengesahkannya ia adalah kanser dan berada di tahap 4,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelam di sini baru-baru ini.
Katanya, sejak itu kehidupan keluarganya berubah, malah dua anaknya berusia 12 dan 10 tahun tidak lagi diberikan duit belanja ke sekolah dan hanya membawa bekal makanan.
“Ketika sesi persekolahan lalu, semua yuran dan keperluan anak-anak daripada duit sumbangan ahli keluarga.
Katanya, suaminya kini tidak bekerja sejak disahkan menghidap kanser susulan tubuh badannya semakin lemah, malah tidak boleh duduk atau berdiri terlalu lama.
Ekoran itu, Suhana memberitahu, dia kini mengambil upah sebagai pembantu di sebuah kedai makan pada setiap hujung minggu dengan pendapatan sebulan sebanyak RM400.
Dalam pada itu, Megat Asraff berkata, dia tidak sangka akan menjadi beban kepada isteri.
“Saya minta maaf kepadanya dan anak-anak,” katanya dengan linangan air mata.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional 0414041100046329 atas penama Megat Asraff Megat Adam.