KLUANG – Berikutan cuaca panas melampau ketika ini, ada dalam kalangan ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah terutama sekali jika ada masalah kesihatan seperti demam atau batuk.
Tindakan itu terpaksa diambil kerana bimbang cuaca panas akan menjejaskan lagi tahap kesihatan anak-anak mereka, malah dikhuatiri terkena strok haba.
Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Lisa, 37, berkata, lima anaknya yang kurang sihat tidak dihantar ke sekolah semalam kerana bimbang dengan keadaan cuaca panas ketika ini.
Katanya, masalah kesihatan anaknya itu juga dibimbangi akan berjangkit dengan murid-murid lain.
“Saya harap cuaca panas sekarang ini dapat berakhir segera kerana sekiranya berlarutan mungkin akan menjejaskan proses pembelajaran murid.
“Jika anak-anak sudah sihat esok (hari ini), mereka mungkin akan dibenarkan ke sekolah, namun mereka akan dibekalkan sebotol air mineral untuk diminum ketika rehat,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang bapa, Ghazali Esa, 47, pula mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengedarkan air mineral ke setiap sekolah untuk diberikan kepada murid.
Katanya, ia sebagai langkah awal bagi menghindarkan kejadian seperti strok haba yang menjadi kebimbangan ibu bapa sekarang ini.
Tambahnya, dia juga tidak akan menghantar anak-anak sekiranya mereka tidak sihat.
Di Kuala Langat, Selangor, seorang peniaga, Faizal Arif, 52, mencadangkan sesi persekolahan ditutup buat sementara waktu sekiranya cuaca melebihi 37 darjah Celsius.
Katanya, kes strok haba yang melibatkan kematian baru-baru ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu diatasi secara holistik.
“Strok haba sama bahaya dengan virus. Dua-dua tidak dapat dilihat, namun kesannya amat memudaratkan jika langkah pencegahan seperti cuti sekolah tidak diambil,” ujarnya.
Suri rumah, Azimah Mohamad Aripin, 47, berkata, walaupun cuaca panas, anak-anaknya masih perlu melalui jadual persekolahan yang padat sama ada di sekolah kebangsaan atau agama.
“Sekiranya sesi persekolahan dipendekkan termasuk sekolah agama, ibu bapa boleh memantau aktiviti fizikal anak-anak di rumah,” katanya.
Kosmo! pada 27 April lalu melaporkan Muhamad Syamil Aqil, 11, maut dipercayai akibat diserang strok haba di Bachok, Kelantan.
Selepas itu, Nur Imani Ahmad Faris Fazli, 19 bulan, dari Kota Bharu pula maut disyaki akibat simptom sama.