SUNGAI PETANI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd. Isa Shafie dilaporkan dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Mohd. Isa, 69, dimasukkan ke Hospital Sik, dekat sini pada semalam sebelum dipindahkan ke HSAH pada pukul 4 pagi tadi kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.
Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, anak kepada Mohd. Isa memaklumkan ADUN terbabit kelihatan lemah sebelum rebah di bilik air rumahnya di Kampung Jelutong, Sik kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam sebelum dikejarkan ke hospital.
“Keadaan kesihatannya lemah dan menurun sebelum doktor menidurkannya. Saya mohon orang ramai mendoakan beliau agar sembuh dan dapat terus berkhidmat kepada rakyat Belantik,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, orang ramai tidak dibenarkan melawat ADUN itu ketika ini selain mengharapkan kesemua ahli keluarganya bersabar menghadapi ujian berkenaan.
Mohd. Isa berkhidmat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik selama tiga penggal dan beliau sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung. – KOSMO! ONLINE