fbpx

Tiga warga Malaysia terkandas dalam perjalanan keluar dari Sudan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seramai tiga orang rakyat Malaysia yang tidak pernah mendaftarkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dilaporkan masih terkandas di Sudan.

Perkara itu disahkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menerusi kenyataan hari ini, namun menjelaskan usaha giat dilakukan bagi membawa mereka keluar.

“Wisma Putra hanya menerima maklumat mengenai mereka itu pada 30 April lalu menerusi aplikasi sosial Facebook Messenger Kedutaan Malaysia di Khartoum.

“Ia melibatkan seorang ibu dengan dua anaknya serta suami warga Sudan yang tinggal di wilayah Al Gaza, namun terperangkap ketika cuba keluar dari negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Susulan itu, katanya, usaha pemindahan anggota keluarga berkenaan untuk keluar dari Sudan sedang diusahakan Pasukan Khas Ops Sudan Wisma Putra.

“Ketika ini, ketiga-tiga rakyat Malaysia serta lelaki warganegara Sudan sedang dalam perjalanan menuju ke Port Sudan dan dijangka tiba hari ini. Kerajaan melalui Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Besar Malaysia ke Sudan turut memohon bantuan kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan.

“Langkah tersebut membolehkan empat beranak itu dapat menaiki kapal untuk membawa mereka keluar dari Port Sudan menuju ke Jeddah dalam masa terdekat,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zambry mengesahkan terdapat dua rakyat Malaysia berkhidmat dengan misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan pada ketika ini iaitu Mejar Zazalina Ghazali dan Leftenan Komander Naadifarin Che Kamaruddin yang dilaporkan berada dalam keadaan selamat di wilayah Abyei yang tidak terjejas teruk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI