fbpx

Tekong darat dicekup sumbat 20 PATI Myanmar dalam tiga kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI warga Myanmar yang ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Persona di Kampung Lundang, Kota Bharu, Kelantan semalam. FOTO IHSAN PGA

KOTA BHARU – Tiga tekong darat yang memandu kenderaan masing-masing dicekup selepas didapati membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk empat wanita di Kampung Lundang di sini semalam.

Kesemua PATI berusia antara 18 hingga 47 itu ditahan selepas sepasukan anggota Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard selain dua kereta jenis Proton Persona dan Honda Accord kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, tiga tekong darat berusia 22 hingga 33 tahun itu terlibat dengan aktiviti penyeludupan migran dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI melalui jalan yang tidak diwartakan.

Menurutnya, tekong darat itu juga dibayar upah sebanyak RM150 bagi setiap seorang migran yang diseludup.

“Berdasarkan semakan, salah seorang tekong darat itu mempunyai rekod lampau berkait kes narkotik.

“Selain itu, ujian saringan air kencing turut mendapati salah seorang tekong darat positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya bersama semua agensi penguatkuasaan di sempadan negara sentiasa mempertingkatkan kawalan bagi membanteras sebarang bentuk aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Menurutnya, polis sentiasa komited untuk terus menghapuskan sindiket dan individu yang menjadi dalang sebarang kegiatan penyeludupan.

Tambahnya, ketiga-tiga tekong darat itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI