PETALING JAYA – Kerana mahu menikmati pelbagai makanan lazat, pelakon dan juga pengacara Janna Nick tidak kisah ‘menyeksa’ diri dengan melakukan senaman berat di gimnasium.
Walaupun mengakui penat, Janna, 28, terpaksa melakukan aktiviti bersenam kerana sedar tentang keinginan dirinya yang sukakan makanan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Janna atau nama lengkapnya Nurul Jannah Muner berkongsi kegiatan bersenam yang dilakukannya di gimnasium dan mendakwa pernah hampir pengsan kerana terlalu penat.
“Kadang-kadang saya terfikir kenapa perlu seksa diri seperti ini (melakukan aktiviti bersenam) sampai rasa nak pitam (pengsan)
“Jawapannya sebab saya nak makan (dengan banyak). Seronoknya orang yang makan sehingga dua tiga pinggan, tapi tak gemuk-gemuk,” ujarnya.
Bagaimanapun, selebriti yang turut bergelar penyanyi itu mengambil pendekatan berfikiran positif kerana menganggap aktivti bersenam yang memenatkan itu juga baik untuk kesihatan mentalnya.
“Tapi tak apa sebab bersenam pun sebenarnya baik untuk kesihatan mental. Cuma nak mula balik selepas sebulan berpuasa, rasa berat sangat,” ujarnya.
Tahun lalu, Janna pernah menjadi bahan usikan netizen apabila bentuk badannya dikritik gemuk serta memiliki bentuk paha yang besar.
Kerana ejekan netizen itu, Janna mendedahkan pernah terfikir untuk menjalani pembedahan batriatrik atau pintasan perut (potong usus).
Pelakon drama Misteri Mona: Kuserumu Kembali dalam satu kenyataannya mengakui tersinggung dan sedih dengan pandangan orang ramai tentang saiz fizikalnya.
“Saya rasa sedih. Selama ini, saya tak peduli pun bila orang cakap saya gemuk, paha besar.
“Tapi, kali ini, saya betul-betul terasa sampai fikir nak potong perutlah. Bodohkan? Tapi takpalah, saya akan buktikan, saya boleh kurus, biarlah orang nak sakitkan hati saya,” katanya menerusi satu perkongsian video dalam Instagram. – KOSMO! ONLINE