PHNOM PENH – Skuad bawah 22 (B-22) negara melaungkan amaran awal dalam usaha menggengam ‘ibu segala pingat’ pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 selepas menewaskan Laos 5-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Prince itu, E. Elavarasan membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan tonggak utama seperti Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad dan Haqimi Azim Rosli.
Skuad negara hanya memerlukan tempoh empat minit untuk mendahului saingan hasil serangan balas pantas yang berjaya disudahkan oleh pemain pertahanan, Ubaidullah Shamsul Fazili.
Bagaimanapun, Ubaidillah menjadi ‘duri dalam daging’ bagi kem negara apabila menghasilkan gol sendiri selepas tertampan bola hasil sepakan yang dilakukan oleh Phetdavanh Somsanid pada minit ke-21.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dan akhirnya kembali mendahului apabila kini giliran pertahanan lawan, Anantaza Siphongphan tertampan bola ke gawang sendiri berselang tujuh minit kemudian.
Bersambung pada babak kedua, Elavarasan membuat rombakan kesebelasan utama dengan memasukkan Syahir Bashah, Fergus Tierney dan Najmudin Akmal Kamal Akmal untuk memastikan bekalan selesa dapat diraih.
Keputusan tersebut ternyata membuahkan hasil selepas Syahir menambah jaringan ketiga selepas menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh Tierney pada minit ke-74.
Kem Malaysia bertambah ceria selepas Najmudin Akmal meledak gol keempat pada masa kecederaan selain satu gol lagi jaringan sendiri yang dilakukan oleh pemain Laos, Phouttahavong Sangvilay dengan keputusan 5-1 kekal sehingga wisel penamat.
Pasukan negara yang memburu emas pertama dalam tempoh 12 tahun dijadualkan bertemu Thailand pada aksi kedua Kumpulan A di venue yang sama, Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE