PETALING JAYA – Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) memaklumkan stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap ditutup sementara akibat gangguan bekalan kuasa.
LLM dalam hantaran di Twitter berkata, penutupan stesen minyak itu melibatkan laluan di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Status terkini, gangguan bekalan kuasa masih berlaku. Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan dinasihatkan untuk merancang perjalanan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, LLM memberitahu terdapat kejadian lori rosak di Kilometer (KM) 230.5 arah Selatan dari Changkat Jering ke Kuala Langsar.
“Aliran trafik arah selatan dari Sungai Dua ke Juru juga dilaporkan perlahan berikutan treler rosak di KM 137.9 menyebabkan lorong tengah terhalang,” jelasnya.
Sementara itu, ujarnya, lorong kanan di KM 144.61 dari Chenor ke Maran kini ditutup ekoran kerja-kerja penyelenggaraan. – KOSMO! ONLINE