RIYADH – Bintang sensasi dunia, Cristiano Ronaldo dikhabarkan ingin meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Nassr dan dilaporkan bakal kembali ke Real Madrid semula tetapi bukan hadir sebagai pemain bola sepak.
Terbaharu, menurut laporan El Nacional, mereka mendedahkan bahawa bekas penyerang Manchester United tersebut sudah dijanjikan jawatan sebagai duta kelab itu.
Dalam laporan tersebut menyebut, perbezaan bahasa menghalang bintang Portugal itu menyesuaikan diri dengan kelab baharunya, Al-Nassr yang disertainya pada Januari lalu.
“Presiden kelab Real Madrid, Florentino Perez telah menawarkan pekerjaan buat Ronaldo tetapi bukan sebagai pemain,” kata El Nacional dalam satu laporan.
Al-Nassr sebelum ini telah berjaya mengikat Ronaldo sehingga 2025 dengan nilai kontrak mencecah sehingga €200 juta (RM941 juta).
Ketika ini, Ronaldo tampil dengan perlawanan terbaik bersama Al Nassr selepas meledak 12 gol bersama kelab Arab Saudi tersebut.
Meskipun Ronaldo dilaporkan akan meninggalkan pasukan tersebut, kelab Liga Pro Saudi itu dikatakan akan membawa masuk bek kiri dari Brazil, Alex Telles yang dipinjamkan ke Sevilla oleh Manchester United musim ini.
Jika benar perkara tersebut berlaku, Ronaldo dijangka bergabung kembali dengan bekas rakan sepasukan Manchester United di Al-Nassr. – AGENSI