SELEPAS hampir seminggu berdiam diri, Virgoun akhirnya membuat kemunculan memohon maaf secara terbuka atas isu kecurangan terhadap isterinya, Inara Rusli.
Virgoun menerusi saluran YouTube mengakui kesilapan dan mahu bertanggungjawab atas kesilapan yang dilakukan.
“Saya memohon maaf yang sebesar-besarnya atas segala keriuhan yang terjadi. Perkara yang seharusnya menjadi masalah dalaman keluarga akhirnya terbuka. Saya akui salah dan khilaf.
“Saya juga meminta maaf atas nama dan pihak yang terseret serta menjadi tertuduh dalam isu ini. Video ini bukan untuk membela diri tapi usaha saya bertanggungjawab atas kesalahan,” ujarnya.
Penyanyi lagu Bukti itu akui rasa cinta kepada isteri sudah berubah.
“Lagu Bukti dan lagu lainnya secara tulus saya buat daripada hati untuk isteri saya. Namun perasaan itu semakin berubah mengikut waktu,” katanya.
Dia juga mengaku tidak tegas dengan perasaannya yang kian pudar buat isteri.
“Saya minta maaf kerana tak pernah jujur, tegas, dan berani. Saya melarikan diri dan mencari ketenangan di luar,” ujar.