fbpx

Protes ratusan ribu orang di Perancis bertukar ganas, lebih 100 polis cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENUNJUK perasaan memegang sepanduk di hadapan sebuah kedai ketika melakukan protes di Lyon, kelmarin. – AFP

PARIS – Sekurang-kurangnya 108 anggota dan pegawai polis cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan di seluruh Perancis, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Ge­rald Darmanin berkata, bilangan besar anggota polis yang cedera itu jarang berlaku di Perancis. Katanya, seramai 291 orang ditahan semasa tunjuk perasaan berlangsung.

Terdahulu, beratus-ratus ribu orang menyertai perhimpunan Hari Pekerja bagi membantah kenaikan usia persaraan yang diluluskan oleh Presiden Emmanuel Macron pada 15 April lepas.

Kebanyakan penunjuk pe­rasaan mengadakan protes aman tetapi kumpulan-kumpulan radikal bertindak membaling bom petrol serta mercun ke arah polis. Anggota-anggota polis kemudian bertindak balas membedil meriam air dan gas pemedih mata.

Kementerian Dalam Negeri menyatakan, seramai 782,000 orang menyertai tujuk perasaan itu termasuk 112,000 penunjuk perasaan di Paris. Kesatuan Konfederasi Am Buruh (CGT) bagaimanapun menyatakan bahawa angka sebenar adalah tiga kali ganda lebih tinggi.

“Di Paris, seorang anggota polis melecur teruk pada tangan dan muka akibat terkena bom petrol yang dilontar oleh penunjuk perasaan,” kata Darmanin.

Keganasan turut tercetus di Lyons, Toulouse dan Nantes, di mana sejumlah kenderaan dibakar serta perniagaan turut di­serang.

Terdapat juga beberapa laporan yang menyebut bahawa penunjuk perasaan menawan sebuah hotel mewah di bandar Marseille, selatan Perancis.

Darmanin menuduh kumpulan sayap kiri dikenali sebagai ‘blok hitam’ menjadi dalang di sebalik rusuhan yang berlaku.

Beliau mahu mereka yang menyerang polis serta merosakkan harta benda awam dikenakan hukuman berat.

Insiden itu merupakan protes terbaharu daripada beberapa siri tunjuk perasaan besar-besaran yang diadakan bagi menentang kenaikan usia persaraan daripada 62 tahun kepada 64 tahun.

Kesatuan-kesatuan sekerja Perancis menuntut dasar tersebut ditarik balik. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI