PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat yang mengesahkan dirinya positif Covid-19 menasihatkan kontak rapat membuat ujian calitan.
Menurutnya, perkara tersebut perlu dilakukan bagi memastikan tiada penularan jangkitan berlaku terhadap individu lain.
“Positif (Covid-19) hari ini. Siapa yang berjumpa saya semalam tolong buat ujian calitan hari ini dan beberapa hari akan datang.
“Saya tiada mengalami simptom yang teruk cuma sakit tekak sahaja. Jadi, sesiapa yang mengalami sakit tekak jangan tunggu atau biarkan.
“Ingat sakit tekak sahaja. Buat ujian calitan Covid-19 terus ya,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram hari ini.
Penyanyi lagu Pencuri Hati itu bagaimanapun bersyukur suaminya Nabil Mahir serta anak mereka, Ana Nayla, yang baharu mencecah 20 bulan tidak dijangkiti virus itu.
Menerusi hantaran sama, Ayda atau nama sebenarnya, Nur Shuhada Jebat, 31, turut meluahkan perasaan rindu terpisah seketika dengan si kecil.
Perkongsiannya mengundang perhatian rakan seperjuangan serta pengikut laman sosialnya yang menzahirkan doa supaya segera sembuh.
Sebelum ini pasangan terbabit antara individu yang cukup berjaga-jaga dalam mengekang risiko jangkitan Covid-19.
Mereka bukan saja tidak berkunjung di lokasi awam, malah meminta saudara mara dan rakan yang ingin bertemu menjalani ujian calitan terlebih dahulu.
Ketika fasa peralihan pandemik sekitar dua tahun lalu, Nabil juga dilaporkan sanggup menyewa sebuah panggung wayang semata-mata untuk menonton filem Spider-Man: No Way Home bersama ahli keluarganya sahaja.
Usaha itu diambil bagi mengekang penularan virus Covid-19. – KOSMO! ONLINE